Bersama Kumpulan Search Hamzah_bin_Mohd_Taib

Pada penghujung tahun 1988, Kid menghadiri satu ujibakat yang dijalankan oleh kumpulan Search untuk mencari pemain gitar utama baharu setelah mereka kehilangan Hillary Ang buat kali kedua ketika rakaman album studio ketiga Search, Fenomena sedang dalam proses. Semua anggota Search kecuali Nordin yang tidak tahu akan penyertaan adiknya, tertarik dengan bakat beliau lalu terus sahaja mengambil beliau sebagai pemain gitar utama mereka yang baharu. Hal ini telah menyebabkan Kid mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan Gersang dan meminta rakannya, Ajib untuk menggantikan tempat beliau dalam kumpulan tersebut.

Kehadiran beliau dalam Search ternyata telah mencetuskan satu fenomena baharu apabila lagu malar segar mereka, Isabella mendapat sambutan yang menggalakkan apabila lagu tersebut berjaya menembusi pasaran muzik di Indonesia. Permainan gitar utama beliau yang cukup 'berhantu' dalam lagu tersebut telah membuka mata ramai pihak bahawa Search masih mampu bertahan dalam industri biarpun Hillary bukan lagi pemain gitar utama mereka. Lagu tersebut juga telah merangkul kejayaan terbesar dalam pertandingan akhir Juara Lagu '89 apabila dinobatkan sebagai Lagu Terbaik (Juara Keseluruhan) selain mendapat anugerah Lirik Terbaik dan tempat pertama dalam kategori Persembahan Terbaik.

Bersama Search, Kid telah mengecapi banyak kejayaan di dalam dan luar negara selama lebih kurang sepuluh tahun sebelum berpecah pada penghujung 90-an setelah vokalisnya, Amy meninggalkan kumpulan tersebut untuk menjadi artis solo.

Beliau bersama Awie (vokal), Yem Bai (bass) dan Jojet (dram) kemudiannya menubuhkan band projek, Dragon Malaya pada tahun 2000.